Pihak pengurusan SK Sungai Puteri telah mengadakan pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi 2010. Sepertimana biasa seawal jam 8:30 pagi, perkarangan kantin SK Sungai Puteri telah dipenuhi oleh ibubapa yang hadir untuk mendaftarkan anak-anak mereka.
Kelihatan murid-murid yang bakal memasuki Tahun 1 begitu gembira dan tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran mereka. Perasaan gembira mereka memang sudah diduga memandangkan mereka hadir untuk sesi pendaftaran dengan lengkap beruniform buat kali pertama.
Pengurusan pendaftaran Tahun 1 bermula dengan taklimat yang diberikan oleh En. Ismail bin Mohd Said, Guru Besar SK Sungai Puteri. Sebaik sahaja selesai taklimat, majlis diteruskan lagi dengan proses penyampaian sumbangan beg sekolah dan baju kepada semua murid Tahun 1 sesi 2010 oleh Naib Yang Dipertua PIBG SK Sungai Puteri Encik Shamsul. Beg sekolah dan baju merupakan sumbangan dari YB TYT Dato Seri Dr. Jamaludin bin Jarjis, Ahli Parlimen Rompin.
Selepas majlis penyampaian beg sekolah dan baju, ibubapa seterusnya meneruskan agenda dengan membeli buku tulis serta mengambil buku teks di tempat yang disediakan. Manakala murid-murid telah dibawa ke kelas masing-masing bagi merasai suasana berada di dalam kelas.
No comments:
Post a Comment