Tuesday, October 18, 2011

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE MELAKA

KLIK GAMBAR UNTUK MELIHAT GAMBAR-GAMBAR  SEMASA LAWATAN

Pada 15 hingga 16 Oktober 2011, seramai 67 orang murid dan 9 orang guru pengiring telah menyertai lawatan ke Melaka. Seawal jam 7 pagi murid-murid telah memenuhi tapak perhimpunan menanti ketibaan bas. Tepat jam 7.45 pagi rombongan mula bertolak dari perkarangan SK Sungai Puteri. Rombongan tiba di destinasi yang dituju setelah hampir 5 jam berada di dalam perut bas. Taman Botanical menjadi destinasi pertama bukan untuk melawat tetapi untuk mengalas perut dengan juadah yang telah ditempah khas. 

Selesai menjamu selera, Zoo Melaka menjadi tempat seterusnya para rombongan. Di Zoo Melaka, ahli rombongan berpeluang untuk menambah ilmu dengan melihat pelbagai jenis haiwan yang terdapat di sini. Seterusnya para rombongan dibawa pula ke Melaka Planetarium yang terletak di MITC. Di sini para rombongan berpeluang melihat barangan dan infomasi berkaitan angkasalepas. Para rombongan turut disajikan dengan persembahan 3D berkaitan kewujudan alam semesta.

Setelah hampir 2 jam di Melaka Planetarium, para rombongan dibawa ke Alai Homestay untuk merehatkan badan sebelum menyambung lawatan pada sebelah malam. Setibanya di Alai Homestay, ahli rombongan telah disambut oleh Pengerusi Alai Homestay iaitu Encik Akram. Ahli rombongan di bawa ke balai raya untuk diberikan sesi taklimat ringkas berkaitan Alai Homestay. Selesai taklimat para rombongan dibawa ke tempat penginapan masing-masing.

Jadual di sebelah malam pula memberi kesempatan kepada ahli rombongan untuk melihat keindahan Bandaraya Melaka pada sebelah malam. Justeru itu ahli rombongan telah dibawa ke Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise. Ahli rpmbongan kembali ke Alai Homestay hampir jam 12 tengah malam.

Keesokkan harinya, selepas selesai bersarapan dengan hidangan nasi lemak turun-temurun Kg Alai, ahli rombongan telah dibawa ke tempat memproses dodol dan kuih-muih tradisional. Apa lagi masa untuk membeli belah sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke Kuala Rompin. Setelah hampir 45 minit, ahli rombongan mula meninggalkan Alai Homestay untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu di Banda Hilir untuk melawat tempat-tempat yang menarik di situ seperti A-Famosa, Muzium Setem, Muzium Melaka dan sebagainya. Di samping itu aktiviti membeli belah cenderahati turut dilakukan untuk dibawa pulang. 

Rombongan SK Sungai Puteri bertolak pulang jam 4:45 petang selepas menunaikan solat jamak di Masjid Al-Azim. Masjid Jamek Segamat menjadi destinasi terakhir untuk ahli rombongan makan malam serta mendirikan solat jamak sebelum menyambung perjalanan pulang ke Kuala Rompin. Rombongan selamat sampai ke perkarangan tapak perhimpunan lebih kurang 10:15 malam. Setibanya di perkarangan tapak perhimpunan ibubapa telah menanti kepulangan anak masing-masing.

KLIK - untuk melihat gambar

No comments:

Post a Comment