SELAMAT DATANG KE BLOG SK SUNGAI PUTERI

Sunday, October 7, 2012

KL TO MELAKA


Pada 28 hingga 30 September 2012 yang lalu, murid-murid Tahun 6 dan 9 orang guru pengiring telah mengikuti lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur dan Melaka. Lawatan selama tiga hari 2 malam itu telah meninggalkan banyak kenangan manis kepada para pelajar yang mengikutinya. 

Seawal jam 2:30 petang 28 September, para peserta lawatan telah membanjiri dataran perhimpunan SK Sungai Puteri menantikan ketibaan bas yang disewa khas untuk lawatan ini. Tepat jam 3:15 petang, bas yang disewa mula meninggalkan perkarangan sekolah menuju ke destinasi pertama iaitu Putra Jaya di mana para peserta akan makan malam di Kementerian Sumber Manusia. Juadah makan malam ini merupakan sumbangan daripada Datuk Maznah binti Mazlan.
Setelah hampir 6 jam dalam perut bas, akhirnya sampai di Putra Jaya yang mana ketibaan rombongan telah disambut oleh Pegawai Khas Datuk Maznah binti Mazlan. Alhamdulilah juadah yang disediakan amat menyelerakan ahli rombongan yang sememangnya lapar. Setelah selesai menjamu selera, ahli rombongan telah dibawa ke tempat penginapan di Rumah Rehat PutraJaya untuk merehatkan tubuh badan.

Keesokkan harinya, selepas menyerahkan kunci kepada pihak pengurusan Rumah Rehat Putra Jaya, ahli rombongan telah dibawa ke Planetarium Negara untuk melihat secara dekat tentang alam semesta ini. Kelihatan ahli rombongan begitu teruja apatah lagi melihat secara dekat peristiwa angkasawan pertama negara berlepas ke angkasa lepas.Setelah hampir sejam setengah di Planetarium Negara, ahli rombongan telah dibawan ke Muzium Negara  Di sini ahli rombongan dapat mempelajari dan melihat secara dekat akan khazanah yang berkaitan dengan negara Malaysia yang tercinta ini. 

Sebelum ahli rombongan memasuki Pusat Sains Negara, mereka telah menikmati makan tengahari di kawasan tempat meletakkan kenderaan berhampiran Pusat Sains Negara. Setelah siap menjamu selera, ahli rombongan telah dibawa memasuki Pusat Sains Negara yang mana ahli rombongan diberi masa 2 jam untuk melihat sekitar Pusat Sains Negara. Rombongan bertolak ke Melaka tepat jam 4:45 petang dan berhenti solat jamak di R&R Seremban sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka. 

Tepat jam 8:15 malam, akhirnya ahli rombongan selamat tiba di Homestay Kampung Alai. Ketibaan ahli rombongan telah disambut oleh Tuan Haji Zainal bin Haji Ismail iaitu pemilik Homestay Alai. Ahli rombongan telah dijamu makan malam sebelum dibawa ke destinasi pertama di Melaka iaitu Melaka River Cruise. Setelah hampir dua jam beratur untuk menaiki bot menyusuri Sungai Melaka akhirnya ahli rombongan dibawa pulang ke Homestay Alai dengan melupakan hasrat untuk menaiki Menara Taming Sari kerana masa yang terlalu di Melaka River Cruise. Walaupun sedikit kecewa, namun kerana keletihan kekecewaan itu tidak meninggalkan kesan di sanubari ahli rombongan. Sebelum ahli rombongan melelapkan mata, Tuan Haji Zainal telah menyediakan juadah nasi goreng sebagai juadah ringan yang sememangnya amat dinanti kerana keletihan beratur lama di Melaka River Cruise.

Keesokkan harinya, selepas menjamu sarapan yang disediakan pihak pengurusan Homestay Alai, ahli rombongan telah dibawa ke Zoo Melaka untuk melihat dengan sendiri kehidupan haiwan yang terdapat di situ. Ahli rombongan turut bernasib baik kerana berpeluang melihat persembahan haiwan yang menunjukkan kehebatan masing-masing di bawah kendalian para petugas yang cukup mahir mengendalikan haiwan seperti burung helang, ular sawa, burung nuri, flamengo dan sebagainya. Ahli rombongan telah diberi masa 2 jam untuk menikmati panorama Zoo Melaka. Tepat jam 12:10 tengah hari, rombongan telah bertolak ke Dataran Pahlawan untuk menaiki Menara Taming Sari. Menaiki Menara Taming Sari memberi peluang kepada ahli rombongan untuk melihat dengan sendiri pemandangan Melaka. Selesai sahaja menaiki Menara Taming Sari, ahli rombongan menikmati juadah makan tengah hari sebelum dibenarkan membeli cenderamata serta melawat bangunan bersejarah yang terdapat di Dataran Pahlawan tersebut. 

Ahli rombongan bertolak pulang ke Kuala Rompin tepat jam 4:45 petang dan selamat sampai ke perkarangan tapak perhimpunan sekitar jam 11:00 malam di mana ibubapa dan penjaga telah menantikan kepulangan rombongan ini. Sesungguhnya rombongan pada tahun ini meninggalkan seribu satu kenangan yang sukar dilupakan. Menurut ketua rombongan Pn Azizah binti Hassan, beliau berasa gembira kerana apa yang dirancang dapat disempurnakan tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini serta berharap setiap ahli rombongan yang mengikuti dapat manfaat dari rombongan ini.

UNTUK LIHAT GAMBAR ---- KLIK DI SINI

No comments:

Post a Comment