Monday, January 28, 2013

GURU DIMINTA TINGKATKAN KREATIVITI DAN INOVATIF


Foto
MUHYIDDIN melancarkan GM1M di SMK Sungai Besar
Sabak Bernam: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 204,254 guru muda di seluruh negara meningkatkan daya kreativiti dan inovatif dalam menyampaikan ilmu kepada murid dan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kriteria itu bakal melahirkan modal insan berkualiti tinggi, sekali gus menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sejajar dengan jangkaan tempoh perkhidmatan mereka untuk kira-kira tiga dekad akan datang.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, guru muda tidak harus sekadar mengajar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pendidik, sebaliknya sentiasa berusaha menghasilkan kaedah paling sesuai untuk memastikan ilmu berjaya disampaikan kepada murid dan pelajar.

“Hari ini saya berinteraksi dengan guru muda dan saya lihat mereka memiliki komitmen tinggi untuk memajukan pendidikan di negara kita setanding negara maju,” katanya.

Beliau berucap demikian pada program Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, dekat sini semalam. Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Karang yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.


Program mesra rakyat

Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk memulakan lawatan ke daerah ini dengan menghadiri beberapa program mesra rakyat termasuk lawatan ke pasar pagi di samping mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin UMNO Bahagian Sabak Bernam dan Bahagian Sungai Besar.
Sempena program dihadiri lebih 7,000 guru muda berusia antara 23 hingga 40 tahun dari Selangor, Kuala Lumpur dan Perak itu, Muhyiddin turut melancarkan Buletin Online GM1M yang memaparkan pelbagai kegiatan berkaitan guru muda, selain maklumat pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan yang memerlukan tenaga mahir dibangunkan melalui penjanaan modal insan berkualiti tinggi. Ia bermula di sekolah dengan guru membimbing anak bangsa dalam sistem pendidikan lebih teratur dengan kurikulum lebih difahami,” katanya.

Untuk tujuan itu, katanya, kerajaan menyediakan RM500 juta dalam PPPM bagi melatih semula kemahiran guru dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain turut mengkaji sistem pendidikan negara maju seperti Amerika Syarikat yang mengaplikasikan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam pembelajaran.

sumber: Berita Harian



No comments:

Post a Comment