Wednesday, August 28, 2013

MAJLIS SAMBUTAN MERDEKA RAYA



Majlis Sambutan Merdeka Raya 2013 peringkat sekolah telah diadakan dengan meriahnya pada hari ini bermula jam 8:00 pagi hingga 1.20 petang. Murid-murid kelihatan cantik dan segak memperagakan pakaian raya masing-masing.  Majlis sambutan dimulakan dengan bacaan Yasin oleh semua warga sekolah. Warga SK Sungai Puteri seterusnya mengikuti ceramah oleh penceramah yang dijemput khas bagi mengisi slot kerohanian.



Tepat jam 9:40 pagi, murid-murid menjamu selera nasi tomato, ayam pedas dan air sirap serta pelbagai juadah kuih-muih yang dibawa secara beramai-ramai dari rumah di kantin sekolah. Murid turut diberikan duit raya oleh Pengusaha kantin SK Sungai Puteri iaitu Mak Long. Keceriaan para murid bertambah apabila mereka turut diberikan aiskrim percuma yang ditempah khas dari ChatHome Enterprise.

Mak Long sedang mengagihkan duit raya
CHATHOME Enterprise sedang mengagihkan aiskrim
Guru dan tetamu yang menghadiri majlis ini dijamu dengan pelbagai juadah seperti nasi tomato, mee rebus, nasi himpit, lemang, rendang, kuih-muih dan pelbagai juadah lagi di bawah khemah yang disewa khas berdekatan perkarangan tempat letak kenderaan. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran para pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Rompin, para Guru Besar kelompok Rompin Pantai, YDP serta ahli PIBG SK Sungai Puteri.

Beberapa acara bersempena bulan kemerdekaan turut diadakan bagi memeriahkan sambutan ini. Antaranya deklamasi sajak, nyanyian lagu patriotik, syair dan sebagainya. Hadiah turut diberikan kepada para pemenang.

Sesungguh sambutan bagi dua perayaan ini berjalan dengan lancar dalam suasana penuh keharmonian. Semoga majlis seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun hadapan. Admin blog SK Sungai Puteri mewakili Guru Besar mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru yang telah menjayakan majlis ini dengan jayanya.




Lihat gambar - KLIK DI SINI

No comments:

Post a Comment