SELAMAT DATANG KE BLOG SK SUNGAI PUTERI

Tuesday, May 18, 2010

Sambutan Hari Guru SK Sg Puteri



Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah berlangsung pada 18 Mei 2010 di Dewan terbuka SK Sungai Puteri. Sambutan Hari Guru tahun ini bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa” amat tepat kerana merujuk kepada peranan guru sebagai pencanang budaya kecemerlangan dan tamadun negara bangsa Malaysia.

Sambutan bermula dengan para guru diarak dari perkarangan kantin ke Dewan Terbuka SK Sungai Puteri dengan diiringi paluan kompang. Sebaik sahaja para guru mengambil tempat duduk masing-masing, Encik Mohd Nazihi selaku pengacara majlis telah menjemput Cikgu Hafiz Fikry untuk mengetuai bacaan doa. Seterusnya nyanyian Lagu Kebangsaan, Lagu Negeri Pahang dan Lagu Sekolah dinyanyikan bersama-sama.
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia dan Pengarah Pelajaran Malaysia oleh Pn. Latipah binti Abdul Ghani, GPK Pentadbiran dan Pn. Asmah binti Idris, GPK Hal Ehwal Murid. Mohd Fahmi bin Mohd Ghauth, Ketua Murid SK Sungai Puteri menyampaikan ucapan yang mewakili seluruh murid di SK Sungai Puteri.
Selesai sahaja ucapan daripada wakil murid, acara diteruskan lagi dengan bacaan ikrar oleh para guru. Bacaan ikrar ini diketuai oleh En. Rozman bin Abd Rani Zainuddin. Seterusnya sepertimana biasa para guru akan menyanyikan lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru.
Majlis diteruskan dengan pemberian hadiah oleh para murid kepada guru-guru mereka. Terpancar wajah keriangan di kalangan guru yang mendapat hadiah tanda mereka dihargai dan disayangi oleh para murid. Setelah selesai pemberian hadiah oleh murid-murid, acara sukanneka telah diadakan. Keriuhan, gelak ketawa, gurau senda menyelubungi ruang Dewan Terbuka SK Sungai Puteri manakan tidak ketika inilah para murid melihat para guru mempamerkan aksi-aksi yang sukar dilihat pada hari-hari biasa.
Sebaik sahaja selesai sukanneka, Sambutan Hari Guru SK Sungai Puteri dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada murid-murid dan juga para guru. Sebelum melabuhkan tirai untuk tahun ini, acara bertukar-tukar hadiah dikalangan guru diadakan. Sambutan Hari Guru SK Sungai Puteri melabuhkan tirainya tepat jam 12:30 tengah hari.

No comments:

Post a Comment