SELAMAT DATANG KE BLOG SK SUNGAI PUTERI

Friday, February 11, 2011

924 Guru Besar Terima Ganjaran

PUTRAJAYA: Seramai 924 guru besar dari seluruh negara bakal menerima ganjaran RM7,500 seorang kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Bai’ah).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mengikut tawaran itu, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.
Nama mereka yang layak menerima ganjaran itu dijangka diumumkan pada pertengahan tahun ini, berkemungkinan besar selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 12.1 peratus guru besar berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi ditetapkan, pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal dua peratus bagi 2010.

Katanya, Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 guru besar yang disenarai pendek bagi Bai’ah yang melayakkan mereka menerima ganjaran kewangan berasaskan prestasi itu.

“Walaupun bajet yang kita sediakan untuk Bai’ah, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan ini hanya dua peratus, semua yang layak tetap mendapat ganjaran dan jumlahnya kita akan tentukan nanti.

“Dari segi pencapaian keseluruhan pula, kita sudah bentangkan NKRA bagi kementerian ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada satu perjumpaan dua minggu lalu dan beliau berpuas hati dengan prestasi dalam empat perkara yang menjadi tanggungjawab kami iaitu prasekolah, literasi dan numerasi (LINUS), sekolah berprestasi tinggi (SBT) dan Bai’ah.
“Semuanya berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kecuali bagi LINUS kerana ada pelajar berkeperluan khas, umpamanya yang ada masalah pendengaran dan perlu bimbingan tambahan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan perutusan khas Menteri Pelajaran kepada warga Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment