SELAMAT DATANG KE BLOG SK SUNGAI PUTERI

Tuesday, March 15, 2011

SUSU 1 MALAYSIA UNTUK MURID MISKIN

PUTRAJAYA, 15 Mac - Program Susu 1Malaysia tidak melibatkan semua murid sekolah rendah, sebaliknya khusus untuk murid miskin terutamanya di kawasan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengambil kira kos yang terlalu tinggi sekiranya melibatkan semua murid sekolah rendah di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sebanyak 400,000 murid di seluruh negara telah dikenal pasti untuk program itu dengan setiap murid akan dibekalkan dengan dua kotak susu seminggu.


Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri upacara penutupan Program Keluarga Angkat 1Malaysia anjuran Kementerian Pelajaran di sini Selasa.

Program Susu 1Malaysia sudah dimulakan di Sabah dan akan diperluaskan di seluruh negara.

Muhyiddin berkata walaupun kerajaan hanya melantik pembekal tempatan namun terpaksa mengimport bekalan susu dari luar negara bagi menampung keperluan.


"Bekalan dalam negara tidak mencukupi sebab kita hanya keluarkan berapa peratus sahaja (susu). Jadi kita akan membawa masuk dari luar supaya mereka yang layak itu dapat dibekalkan susu segar. Kita juga bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program Susu 1Malaysia pada September tahun lalu dalam usaha melahirkan generasi muda yang sihat dan cerdas.


Mengenai program 'Satu Murid Satu Sukan', Muhyiddin berkata program itu akan dilancarkan pada Julai ini dengan semua sekolah telah diarahkan menentukan kegiatan sukan mengikut kemudahan sedia ada.


Program Satu Murid Satu Sekolah bertujuan memastikan setiap murid bergiat aktif sekurang-kurangnya dalam satu jenis sukan.


Program itu diyakini dapat mengembalikan kegemilangan sukan ke peringkat sekolah selain melahirkan pelajar yang mempunyai semangat untuk bertanding dan bersaing secara sihat.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment