SELAMAT DATANG KE BLOG SK SUNGAI PUTERI

Saturday, November 1, 2014

LAWATAN TAHUN 6 KE MELAKA

30 Oktober 2014
Seawal jam 7:30 pg semua ahli rombongan berkumpul di kantin sekolah untuk sesi taklimat oleh Pn. Azizah binti Hassan merangkap ketua rombongan. Sebelum menaiki bas yang disewa, Ustaz Mohd Asmawi telah memimpin bacaan doa agar perjalanan pergi dan balik serta urusan sepanjang lawatan berlangsung dengan sempurna.

Tepat jam 12:30 tgh hari, rombongan tiba di Botanical Garden untuk makan tengahari. Selesai makan, ahli rombongan memasuki Bee Farm sebagai tempat pertama yang dilawati. Di Bee Farm ini, ahli rombongan dapat pelbagai maklumat tentang lebah. Sebelum meninggalkan Bee Farm ini ahli rombongan sempat membeli barangan berasaskan madu.


Zoo Melaka merupakan tempat kedua yang dilawati. hampir 90 minit ahli rombongan berada di Zoo Melaka ini untuk melihat pelbagai spesies haiwan. Namun begitu, kehadiran ahli rombongan ke sini sedikit kecewa memandangkan banyak sangkar yang kosong seperti sangkar burung.

Planetarium Melaka adalah tempat ketiga yang dikunjungi oleh ahli rombongan selepas menunaikan solat di sebuah masjid yang berhampiran dengan Planetarium Melaka. Di Planetarium Melaka ahli rombongan dapat melihat dan mempelajari serta menambah ilmu yang berkaitan dengan alam semesta. Ahli rombongan turut melihat tayangan 3D tentang alam semesta. Rata-rata ahli rombongan teruja dengan tayangan ini kerana ia seolah-olah berada di depan mata.

Sebelum meninggalkan Planetarium Melaka, ahli rombongan terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum ke tempat penginapan di Alai Homestay kerana hujan lebat telah turun. Sebaik sahaja hujan berhenti, ahli rombongan menuju ke Alai Homestay. Ketibaan ahli rombongan di Alai Homestay telah disambut oleh pemiliknya iaitu Encik Zainal. Selepas semua ahli rombongan mendapat bilik masing-masing, Encik Zainal telah menyediakan juadah makan malam yang sungguh enak iaitu nasi putih, asam pedas daging, ayam goreng, kubis goreng dan air sirap.


Tepat jam 8:00 malam, ahli rombongan telah dibawa ke Banda Hilir untuk melakukan dua lagi aktiviti iaitu menaiki Menara Taming Sari dan menyusur sungai melaka "River Cruise". Pengalaman melakukan kedua-dua aktiviti ini cukup mengujakan sebilangan besar ahli rombongan. Ahli rombongan kembali semula ke Alai Homestay lebih kurang jam 11:15 malam. Sebelum masuk tidur, ahli rombongan telah dijamu dengan mee hoon goreng dan nasi goreng beserta air teh.

31 Oktober 2014
Seawal jam 7:45 pagi, ahli rombongan telah dijamu dengan nasi goreng, nasi lemak, karipap, donut dan air teh susu sebagai juadah sarapan. Lebih kurang 8:30 pagi, ahli rombongan meninggalkan Alai Homestay untuk ke Muzium Kapal Selam. Sebaik sahaja mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Zainal, ahli rombongan mula mengorak langkah ke bas. Lebih kurang 9:25 pagi, ahli rombongan sampai ke destinasi pertama di hari kedua iaitu Muzium Kapal Selam. Di sini ahli rombongan dapat melihat dengan sendiri suasana di dalam kapal selam.

Destinasi seterusnya yang dituju oleh ahli rombongan pada hari kedua adalah kota A-Famosa dan Muzium Melaka. Ahli rombongan diberi penerangan yang jelas tentang A-Famosa oleh Pn. Siti Fatimah Rohayu yang merupakan Ketua Panitia Kajian Tempatan.

Di Muzium Melaka, ahli rombongan dapat melihat dan mempelajari tentang Melaka melalui pameran serta info yang terdapat di dalamnya.

Lawatan kedua-dua tempat ini sedikit terganggu dengan persiapan Melaka sebagai tuan rumah bagi acara Rumah Terbuka Deepavali peringkat Kebangsaan.

Sebagai tanda kenangan di Melaka, ahli rombongan telah dibawa ke Dataran Pahlawan bagi membeli cenderahati untuk dibawa pulang.



Untuk melihat gambar - KLIK DI SINI




No comments:

Post a Comment